BAGAIMANA kehidupan masa kanak-kanak Salahuddin Al-Ayyubi?
Najdmuddin Ayyub dan saudaranya Syirkuh meninggalkan Baghdad menuju ke Mausul. Di sini keduanya berkhidmat dengan Imaduddin Zanki yang mengalu-alukan kedatangan mereka, malah memberi berbagai hadiah dan layanan istimewa kepada keduanya.
Sambutan hangat dan kemuliaan yang diberikan oleh Imauddin Zanki ini disebabkan tindakan Najmuddin dan saudaranya Syirkuh menyelamatkan Imaduddin Zanki dari dibunuh dan menjadi tawanan kerajaan bani Seljuk. Imaduddin Zanki pernah memerangi kerajaan bani Seljuk di kota Tikrit beberapa hari.
Kebetulan pada masa itu Bahruz menjadi penguasa kota Baghdad bagi pihak kerajaan bani Seljuk. Sebelum ini telah dijelaskan Syirkuh dan saudaranya Najmuddin pernah dilantik oleh Bahruz menjadi penguasa di kota Tikrit bagi pihaknya. Serangan yang dilakukan oleh Imaduddin Zanki menatijahkan beliau mengalami kekalahan teruk di hadapan tentera bani Seljuk.
BACA JUGA: Mengapa Salahuddin al-Ayyubi Jarang Berada di Istananya?
Ketika mengundurkan diri ke Mausul, Imaduddin melalui kota Tikrit. Nyawa beliau dan bala tenteranya berada di tangan penguasa kota Tikrit iaitu Najmuddin dan saudaranya Syirkuh. Jika Najmuddin mahu ia boleh membunuh kesemua bala tentera Imaduddin Zanki, namun ia lebih suka memberi layanan yang baik kepada musuh kerajaan bani Seljuk itu, dan memberikan bantuan-bantuan yang perlu sehingga akhirnya Imaduddin Zanki selamat sampai di Mausul.
Layanan dan akhlak yang baik ini rupa-rupanya telah mendatang natijah yang baik dalam membina kerajaan bani Ayyub dan menegakkan kemuliaan Islam di kemudian hari oleh Salahuddin Al-Ayyub. Sebagai membalas jasa keduanya Imaduddin Zanki telah memberi sambutan yang meriah kepada mereka. Selain itu Imaduddin juga menghadiahkan sebidang tanah supaya mereka dapat hidup dengan selesa di Mausul.
Najmuddin dan saudaranya berserta Salahuddin tinggal bersama Imaduddin Zanki dibawah layanan yang cukup istimewa dan penuh kemuliaan, malah Imaduddin menyerahkan kepada Najmuddin dan Syirkuh urusan ketenteraan. Ketika kota Ba’albak jatuh ke tangan Imaduddin pada tahun 534H, beliau telah melantik Najmuddin sebagai gabenor di kota ini. Ini menunjukkan betapa erat dan ikhlasnya hubungan antara Imaduddin Zanki dengan Najmuddin.
Salahuddin menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Ba’albak. Inilah tahun-tahun yang paling bahagia bagi Salahuddin menghabiskan zaman kanak-kanaknya. Salahuddin dibesarkan dengan penuh semangat keberanian dan kapahlawanan. Beliau dilatih menghadapi peperangan dan jihad, mempraktikkan siasah negara dan segala urusan yang berkaitan, sebagaimana kata penyair:
“Anak muda kita membesar di kalangan kita, mengikut tradisi yang biasa dilalui oleh bapanya”
Masa-masa yang dihabiskan oleh Salahuddin di Damsyik setelah kota itu jatuh ke tangan Nuruddin bin Imaduddin Zanki, adalah hari-hari yang paling cemerlang dalam hidupnya. Di sinilah keperibadian dan bakat beliau menonjol sehingga menerima pujian dan sanjungan dari masyarakat, malah beliau mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari anak pemerintah Damsyik sendiri. Salahuddin muncul di tengah-tengah masyarakat sebagai seorang pemuda yang tenang, beradab dan kuat pegangan agamanya.
Semangatnya untuk membela Islam dan kaum muslimin berkobar-kobar di dalam jiwanya. Ini sedikit sebanyak berpunca dari pengaruh Nuruddin Zanki sendiri yang pada masa itu adalah seorang yang mempunyai akhlak yang mulia dan telah memberikan Salahuddin kedudukan yang istimewa di sampingnya. Di antara jawatan yang disandang oleh Salahuddin sewaktu di Damsyik ialah sebagai ketua polis Damsyik. Salahuddin telah melaksanakan tugasnya dengan baik dan berjaya membersihkan bandar Damsyik dari pencuri dan penceroboh.
Akhirnya keamanan dan kestabilan menyelubungi seluruh bumi Syam. Rakyat merasa diri dan harta mereka aman dan mereka dapat menjalani kehidupan seharian dengan selesa. Inilah dikenali dengan nama Arqalah Ad-Dimasyqi menggambarkan kegembiraannya apabila Salahuddin memegang jawatan ketua polis Damsyik:
“Berhati-hatilah wahai pencuri-pencuri negeri Syam. Aku ingin menasihatkan anda sekalian. Sekarang serupa namanya dengan Nabi Yusuf yang empunya hujah dan kecantikan, telah datang. Kecantikan Nabi Yusuf menyebakan terpotongnya tangan gadis-gadis yang melihatnya, manakala Yusuf Salahuddin pula memotong segala tangan-tangan yang mencuri.”
BACA JUGA: Shalahuddin Al-Ayyubi dan Bayi Rampasan
Tempoh masa yang dihabiskan oleh Salahuddin di Mesir pula merupakan tempoh masa yang paling kemuncak bagi beliau, kerana pada masa itu sikap kepahlawanannya terserlah, manakala kemahiran dan kepintarannya dalam siasah peperangan mula menonjol. Ketika Syawar As-Sa’di memberontak menentang kerajaan Fatimi di Mesir pada tahun 558H, beliau telah meminta pertolongan Nuruddin Zanki dari Damsyik.
Pada peringkat awalnya Nuruddin merasa ragu dengan permohonan itu tetapi kemudiannya beliau mengubah fikiran lalu menghantar panglima agungnya Asaduddin Syirkuh yang turut disertaioleh anak saudaranya Salahuddin yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan unggul dalam seni-seni peperangan dan pertempuran bersama dengan bapa saudaranya Syirkuh berjaya meletakkan Mesir di bawah pemerintahan Nuruddin pada tahun 546H.
Kesimpulannya zaman kanak-kanak Salahuddin Al-Ayyubi penuh dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Zaman inilah beliau dapat bergaul dengan para amir, panglima-panglima tentera, mempelajari seni kemahiran peperangan, menunjukkan semangat yang tinggi untuk membela Islam, dan berani, baik dari sudut material mahupun dari sudut tatasusila. Sifat-sifat inilah yang melayakkannya menjadi tokoh ulung lagi cemerlang yang berjaya menggegarkan dunia dan menukar perjalanan sejarah. []
SUMBER: DINUL ISLAMI
Sumber Klik disini